‘Everyone can cook’, itu kata Gustoe (betul ke eja nama dia nih, cari kat net lembab la pulak...) dalam Ratatouille. Betul, ikut buku resepi sesiapa pun boleh masak. Pada aku, makanan bukan sahaja boleh dimasak, tetapi boleh dirasai dengan perasaan. Macam Remmy-the-rat yang menikmati makanan dengan perasaannya. Untuk merasai, seseorang perlu bukan sekadar boleh memasak, dia juga mempunyai kemahiran mengetahui apa yang kurang, apa yang perlu ditambah dalam sesuatu masakan, bukan sekadar mengikut resepi semata-mata, perlu pandai ‘adjust’ gitu. Makanan yang dimasak mengikut hati dan perasaan (passion), biasanya lebih sedap dan enak untuk dimakan. Apa pun, itu hanya pendapat aku je, sementelah aku suka memasak dan tidak kurang juga yang kata masakanku enak…ahemm…
Such a long intro eh? Sebenarnya, apa yang aku nak cerita, bebaru ni aku mencuba masak ikut buku resepi. Biasanya aku masak makanan yang aku belajar secara hands on je. Pada aku ikut buku resepi ni takde feel.
Cuma bila bebaru ni duduk serumah dengan Kak Supi untuk beberapa hari, melalui pemerhatian aku, Kak Supi banyak memasak ikut buku resepi and yet makanannya semua sedap-sedap belaka. Korek punya korek, rupa-rupanya dia tenguk resepi sebab nak tenguk bahan-bahan je, untuk jadikan makanan tu sedap adalah melalui kemahiran merasai makanan dengan menambah atau mengurangkan bahan yang digunakan, tidak lupa juga beberapa petua.
Terinpirasi melalui pengalaman bersama Kak Supi tu, aku pun cuba la masak laksa johor. Tak pernah tenguk macam mana orang masak laksa johor ni, selalunya bila nak tinggal makan je. Bila rasa penat-penat je masak untuk makan dengan hubby dan Nurin, aku pun jemput la kawan-kawan yang duduk dekat dengan rumah, boleh la diaorang jadi food critic.
Selain laksa Johor, aku masak juga nasi goreng, mana la tahu ada orang yang tak makan laksa Johor ni. Alhamdulillah, nasi goreng tinggal semangkuk, laksa pun tinggal semangkuk, ok la kan untuk 6 orang makan dan untuyk first timer. :)
Selalunya bila dah pukul 4,5 ptg aku akan telefon hubby atau hubby telefon aku untuk tanya nak makan apa for dinner. Last Friday hubby kata dia teringin nak makan ayam golek dan nak beli jek kat Giant. Hmm.... aku dah tak lalu nak beli ayam golek macam tu, sebab selalunya byk bahan perasa dan ayamnya dah tak fresh, so aku volunteered nak buat ayam golek. Terus call Kak Supi tanya macam mana resepinya.
A
yam ni tak sempat nak perap, hubby sampai rumah aku baru je habis melumur rempah, terus bakar sebab dia kata dah lapar. Kena tunggu lak satu jam sementara ayam masak.
Malam tu kitaorang dinner ayam golek, salad with french dressing dan sup.
Dua hari lepas, teringin pulak nak makan cencaru sumbat, tapi tak dpt cari cencaru besar, so apa yg ada je la.
Dinner malam tu ada cencaru sumbat, sawi kerinting masak lemak, sambal belacan dan tauhu lembut stim bersos tiram. Semua licin! Nurin tambah berkali sebab masak lemak memang kegemaran dia, maklum la pengasuh dulu orang Noghori, sotakat masak lomak tu tak heran dah. Kali ni, aku akan bagi sekali resepi, mana la tahu korang nak try kat rumah, senang je.
Ayam golek
1 ekor ayam (lebih kurang sekilo, kalau ayam besar double je la bahan-bahannya)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 batang serai
2 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tomato/cili
1 sudu besar serbuk kari
gula dan garam secukup rasa
Semua bahan dikisar/tumbuk, pastu lumur kat ayam, perap la dlm 1 jam. Bakar pada suhu 200 darjah selama 1 hingga 1 1/2 jam, depends la, kalau nak garing lama sikit. Nak tahu ayam dah masak atau belum, cucuk ayam dengan garfu atau pisau, kalau keluar air jernih itu tanda ayam dah masak.
Ikan cencaru sumbat
2 ekor ikan cencaru sederhana besar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5-7 biji cili api (kalau tak tahan pedas boleh guna cili besar)
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit
2 batang serai
1 biji limau kasturi
garam dan gula secukup rasa
Semua bahan ditumbuk/kisar, setelah lumat perahkan limau pastu sumbat belakang cencaru. Boleh dibakar atau digoreng. Aku lebih suka goreng, tapi minyak sikit je tak payah sampai tenggelam ikan tu.
Tauhu stim bersos tiram
1 kotak tauhu lembut (selalu ada kat giant atau carrefour)
3 ulas bawang kecik
3 ulas bawang putih
1 sudu sos tiram
1 sudu kicap manis
garam secukup rasa
Tauhu distim lebih kurang 5 minit. bawang merah dan putih dihiris halus dan digoreng dengan sedikit minyak hingga naik bau. Bila bawang dan garing, masukkan sos tiram, kicap dan sedikit air. Pastu curahkan pada tauhu yang telah distim tadi.
Lastly, selamat menjamu mata dan selamat mencuba!